Dalil-dalil dari Al-Quran berkaitan dengan kewajiban faraid adalah seperti berikut:
Allah mensyariatkan bagimu tentang (pembahagian pusaka untuk) anak-anakmu. Iaitu; bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan; dan jika anak itu semuanya perempuan lebih dari dua, maka bagi mereka dua pertiga dari harta yang ditinggalkan; jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka ia memperolehi separuh harta. Dan untuk dua orang ibu bapa, bagi masing-masingnya satu perenam dari harta yang ditinggalkan, jika yang meninggal itu mempunyai anak; jika orang yang meninggal tidak mempunyai anak dan ia diwarisi oleh ibu bapanya (sahaja), maka ibunya mendapat satu pertiga; jika yang meninggal itu mempunyai beberapa saudara, maka ibunya mendapat satu perenam. (Pembahagian-pembahagian tersebut) sesudah dipenuhi wasiat yang dia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. (Tentang) orang tuamu dan anak-anakmu, kamu tidak mengetahui siapa di antara mereka yang lebih dekat (banyak) manfaatnya bagimu. Ini adalah ketetapan dari Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (an-Nisa : 11)
Dan bagimu (para suami) satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isterimu, jika mereka tidak mempunyai anak. Jika isteri-isterimu itu mempunyai anak, maka kamu mendapat satu perempat dari harta yang ditinggalkannya sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya. Para isteri memperoleh satu perempat harta yang kamu tinggalkan jika kamu tidak mempunyai anak. Jika kamu mempunyai anak, maka para isteri memperolehi satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan sesudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu. Jika seseorang mati, baik lelaki mahupun perempuan yang tidak meninggalkan bapa dan tidak meninggalkan anak, tetapi mempunyai seorang saudara lelaki (seibu sahaja) atau seorang saudara perempuan (seibu sahaja), maka bagi masing-masing dari kedua-dua jenis saudara itu satu perenam harta. Tetapi jika saudara-saudara seibu itu lebih dari seorang, maka mereka bersekutu dalam yang satu pertiga itu, sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudarat (kepada ahli waris). (Allah menetapkan yang sedemikian itu sebagai) syariat yang benar-benar dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun. (an-Nisa : 12)
Mereka meminta fatwa kepada kamu (tentang kalaalah). Katakanlah Allah memberi fatwa kepadamu tentang kalaalah (iaitu): jika seorang meninggal dunia, dan dia tidak mempunyai anak dan mempunyai saudara perempuan, maka bagi saudaranya yang perempuan itu satu perdua daripada harta yang ditinggalkannya, dan saudaranya yang lelaki, mempusakai (seluruh harta saudara perempuan), jika dia tidak mempunyai anak; tetapi jika saudara perempuan itu dua orang, maka bagi kedua-duanya dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh yang meninggal. Dan jika mereka (ahli waris itu terdiri daripada) saudara lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang saudara lelaki sebanyak dua bahagian saudara perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepadamu supaya kamu tidak sesat. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (an-Nisa : 176)
[pb_button src=”https://www.kausarwealth.com/pusaka/” src_target=”_self” size=”medium” icon_enable=”1″ icon=”home.png” icon_position=”left” text_color=”000000″ bg_color=”FFC515″ border_color=”000000″ border_width=”1″ text_color_hover=”ffc315″ bg_color_hover=”000000″ border_color_hover=”000000″ border_width_hover=”2″]Kembali[/pb_button]
0 Comments